Friday, July 8, 2011

Kembali bernafas.

Alhamdulillah.. masih dipanjangkan usia sehingga ke hari ini. Mudah-mudahan, segalanya akan kembali seperti biasa.

Hidup ini sudah terlalu asing untuk dinikmati. Sejenak terfikir, insyaAllah akan dikongsi setakat yang mampu.


Menjangkau sedikit langkah, moga dipermudahkan segala mana yang sukar.

 Wallahualam.

Wednesday, April 6, 2011

Bumi itu bulat, roda itu sentiasa berputar.

Melihat orang menyakiti kita, bukanlah mudah untuk dielak.
Setiap hari, mahu tak mahu. Perlu, walaupun tidak secara rela dan hati tak berapa ikhlas.
Jika setiap detik, keresahan hati sentiasa luka bercalar-balar disiat sikit demi sikit,
kadang menggugat jiwa.

Bumi ini bulat, setiap kali kita berjalan walaupun secara laju ataupun perlahan,
dimana kita bermula di situ juga akan berjumpa akhirnya.
Takdir kalau boleh dilawan, ibarat tuhan meletak jawatan memberi kepada orang yang terpilih,
qada dan qadar yang bagaimana bila di"kun faya kun" bercerita.

Setiap manusia tiada yang sempurna, ada yang baik dan ada yang cacat celanya.
Katalah suatu hari nanti, kita yang dirasakan sempurna dan tiada tolok bandingan.
Tuhan yang satu, menarik balik sekali nikmat secara hakiki.
Teringin juga melihat di mana dan siapa yang akan digagau.

Orang tak sedar, yang diherdik dan dicela berhari-hari,
tak mungkin satu hari nanti teman bersubahat ketawa bersama dulu,
ditertawakan semula.
Apa yang diberi, pasti akan dikembalikan semula. Percaya atau tidak,
InsyaAllah satu hari kelak merasalah seperti golongan yang terasa dulu.

Menghela nafas seinci.

Bila hati membuak-buak memaki-hamun setiap perkara, diminta isyarat merah di mana perlu berhenti daripada terus hijau memperkerdilkan diri-sendiri. 
Sedang enak memijak tanah berumput hijau, lalu mendongak ke langit. Luas~

Katalah, dosa yang itu berkepul-kepul seperti awan.
Dihembus sedikit angin untuk hilangkan segala kesan,
pahala diperlihat seperti birunya siling di atasnya.

Dosa apakah untuk hari ini?
Lembaran permulaan dimulakan dengan senyuman palsu,
biar orang gembira melihat kita, jangan ada yang siapa tahu sedihnya hati yang sendiri tanggung.

Kalau betullah orang yang kau sayang, seorang yang selalu meneman bila masa senang dan susah.
Secara tiba-tiba hilang begitu sahaja. Tanpa kesan,
macam pantai memukul pasir hilang begitu sahaja.

Mata kadang terpana, otak mudah bercelaru.
Dengan sedikit propaganda dunia, aku terus jadi sedih. Pedih. Perit.
Biarpun tuhan masih ada, hati ini kalau ada yang menjaga,
Sikitpun tidak luak dengan kata manis yang sebenarnya pahit.

Menunduk sujud, bersyahadah, bertahmid, berzikir.
Kalau masih ada lagi diskriminasi, cubaan dunia tidak akan terus lenyap,
selagi boleh berhembus nafas menampung kudrat, aku nekad.~

Daripada mati sia-sia, daripada hidup saja-saja.
Lebih baik jika ada yang sedikit untung faedah selain badi mudharat.

Mengelak bala secara sipi.


Ia bukanlah sesuatu perkara yang menyeronokkan. Apabila kepercayaan yang diberi tidak diterima secara setimpal. Mungkin sesetengah orang tidak begitu kisah dengan cara hidup orang lain. Sekurang-kurangnya memikirkan hati dan perasaan yang lain.


Memang benarlah bila seseorang yang kita bergantung harap memberi kita dengan sebaik-baik pembalasan. Bila perkara yang nyata diragui, ia patut disunti mana yang salah dan mana yang betul.


Langsung tak kisah sebenarnya, untuk tidak memakan hati dengan perbuatan dasar sikap zionis pada sesuatu pihak memperkecilkan hak orang lain. Ianya menjadi salah bila kesenangan orang yang dimiliki, kita yang memburukkan orang.


Tak guna kalau diri menyembah sujud 5 kali setiap hari kalau niat untuk diberi pengampunan sekadar bila dalam kewajipan tapi bila diluarnya, menyumpah seranah, memaki hamun, mengutuk mengumpat dan segala yang sepatutnya mahmudah bertopengkan mazmumah.

Kalau diri sendiri ini boleh melawan dan memperbaiki kelemahan diri, panas baran misalnya. Digantikan dengan sikap pemaaf walaupun kadang dipijak seakan berkecai menunggu sepai. Alhamdulillah diberikan kekuatan untuk terus bersabar dan bersyukur sebanyak-banyak dosa orang, sebanyak-banyak pahala yang diterima.


Aku bukan nabi, dan aku bukan rasul. Yang suci dari segala dosa nista dunia, tak pernah lari dari kehendak nafsu yang bercabang-cabang. Kadang aku meminta dengan secara menunduk tidak melihat ke atas, apa yang diminta dan apa yang diberi diajar untuk tidak sesekali mengeluh dengan segala cabaran.


Jika Hamzah seorang pahlawan terhebat, tidaklah dikatakan setanding jika jihad untuk diperlihat dan mendapat pujian itu sebagai balasan.


Ya Allah, aku redha. Jika aku jatuh dalam kancah permainan gelak ketawa-Mu untuk buatkan aku menjadi lebih kuat dan kental, aku bermunajat segala cintaku hanya kepada-Mu. Walaupun neraka adalah tempat sewajarnya bagiku, perlihatkanlah aku sedikit sejenak syurga daripada jauh. Agar penyesalan aku di dunia, mendapat pengajaran kepada orang lain supaya tidak sama akan nasibku.


[perawan-hiba]

Saturday, August 28, 2010

Sekumat Serapah.

Dosa apakah pada hari ini,
sehingga badan lesu dimamah tenaga yang berkurangan,
lesu tanpa makanan atau terhidrat dengan pahala.

Melihat ke langit kelam,
masih subuh dan senyap sunyi tanpa unggas mahupun bising kenderaan,
kesibukan hiruk-pikuk kota juga lenyap,
tidak seperti pada siang harinya,
berpusu-pusu manusia membanjiri kerak bumi.

Hari ini jika aku dapat ketawa,
diselangi batuk berdehem berkahak hijau dan putih,
satu hari mungkin akan bertukar warna ke merah.
Dan masa itu,
sebagai satu petanda,
pengawalan akan sentiasa ada pengakhiran.

Cuma yang berbeza, bila dan cara bagaimana yang kita pilih atau dipilih.
Pintu sentiasa terbuka masa ini,
mungkin juga masa akan datang.
Tapi sampai bila ianya akan berterusan berharap,
yang pasti atau bukan suatu yang pasti.
Mudah-mudahan..

Tuesday, August 17, 2010

Dosa berulang.

Maaf kerana tidak mencangkir ayat setelah beberapa lama.
Aku melihat langit,
saban hari mendung dan kemudiannya cerah,
tiba-tibanya hujan secara tiba-tiba.

Sungguhpun tidak dapat ku duga pemikiran manusia,
semakin jauh aku mengenali tuhanku,
yang sepatutnya hariku mengaku adanya Dia disisi,
cuma kadang terlalu cuai sehingga mengaku syaitan sebahagian yang tak dapat dipisahkan.

Dunia ini mengajar aku untuk sabar, tempuh segala sekatan yang menghalang,
segumpal genggaman tangan ku teran bersungguh-sungguh,
kemudian aku melihat diri aku dari dalam cermin,
aku tidak mengenali diri ku sendiri.

Di bulan ramadhan penuh keberkatan,
sepatutnya berlumba-lumba untuk bersujud bertahmid,
ada pula yang berlumba-lumba ke pusat membeli-belah,
dari awal hingga akhir bulan al mubarak.

Ada pula yang tidak bersyukur,
makanan yang mencukupi selalunya,
bulan ini seperti orang yang sedang kebuluran berbulan-bulan.

Betapa indahnya nikmat tuhan jika masih menyedut udaranya,
air sebagai pelepas dahaga,
rezeki yang halal mengalir ke dalam setiap rongga kapilari darah memberikan tenaga dan kudrat.

Aku hamba Mu tapi aku juga pelempias nafsu bertopengkan Iblis.
Keadilan yang tercipta dalam kitab dan sunnah Mu,
cuma sekadar perhiasan di hujung rumah,
hiburan menjadi tuhan yang sebenar sehingga lupa akan diri Mu.

Friday, August 6, 2010

Persoalannya kenapa.

Mata ini masih keranjang untuk melayan nafsu melihat tubuh kaum hawa,
walaupun kadang ia telah dilindung kain kapas yang membaluti wajah,
tapi masih lagi sengaja melihat seperti jelas apa yang di sebalik urat-urat benang mereka.

Wanita, sangat indah. Pernah selalu bila merayau di luar kepompong, melihat kesosialan manusia di satu pelusuk kerak bumi,
aku masih tak dapat berselindung dari nafsu yang nyata,
walaupun cuba mata untuk memesong ke arah lain dari memanggung leher melihat jelas dan nyata,
hati ini masih berniat ingin tahu.

Kenapa wanita saja ada gunung di hadapan, dan meliuk liku di bahagian belakang.
Walhal, perkara itu sepatutnya serupa,
aku juga ada cuma kenapa setiap perawan mesti melihat dan memuji jika itu benar-benar mengaburi dosa dan pahala.

Seronok melayan nafsu, melihat gunung pejal, lurah dendam yang berkabus, menikmati setiap lenggok walaupun bukan disengajakan dipertonton dan kadang melihat sesuatu yang timbul di sebalik celah lorong yang gelap.

Inikah dikatakan seks? atau cuma lumrah lelaki memuja wanita?
Aku juga punya nafsu, kadang ada kerangsangan yang boleh kawal,
dan kadang tidak boleh dikawal.
Mudahnya terjebak bila terus ke dasar,
mujur masih ada iman di permukaan, menghalang dari menembusi walaupun sedikit lubang dari terus tenggelam.

Ya Allah. Alhamdulillah ke atas nikmat deria penglihatan yang Kau berikan, sememangnya digunakan untuk aku melihat perkara seperti di atas atas alasan menguji keindahan ciptaan Mu,
atau,
aku perlu menutup mata dari terus melakukan dosa yang berterusan? Jauh aku terus merenung ke alam kegelapan, mentari kian menusuk ke dalam. Amin.