Saturday, August 28, 2010

Sekumat Serapah.

Dosa apakah pada hari ini,
sehingga badan lesu dimamah tenaga yang berkurangan,
lesu tanpa makanan atau terhidrat dengan pahala.

Melihat ke langit kelam,
masih subuh dan senyap sunyi tanpa unggas mahupun bising kenderaan,
kesibukan hiruk-pikuk kota juga lenyap,
tidak seperti pada siang harinya,
berpusu-pusu manusia membanjiri kerak bumi.

Hari ini jika aku dapat ketawa,
diselangi batuk berdehem berkahak hijau dan putih,
satu hari mungkin akan bertukar warna ke merah.
Dan masa itu,
sebagai satu petanda,
pengawalan akan sentiasa ada pengakhiran.

Cuma yang berbeza, bila dan cara bagaimana yang kita pilih atau dipilih.
Pintu sentiasa terbuka masa ini,
mungkin juga masa akan datang.
Tapi sampai bila ianya akan berterusan berharap,
yang pasti atau bukan suatu yang pasti.
Mudah-mudahan..

Tuesday, August 17, 2010

Dosa berulang.

Maaf kerana tidak mencangkir ayat setelah beberapa lama.
Aku melihat langit,
saban hari mendung dan kemudiannya cerah,
tiba-tibanya hujan secara tiba-tiba.

Sungguhpun tidak dapat ku duga pemikiran manusia,
semakin jauh aku mengenali tuhanku,
yang sepatutnya hariku mengaku adanya Dia disisi,
cuma kadang terlalu cuai sehingga mengaku syaitan sebahagian yang tak dapat dipisahkan.

Dunia ini mengajar aku untuk sabar, tempuh segala sekatan yang menghalang,
segumpal genggaman tangan ku teran bersungguh-sungguh,
kemudian aku melihat diri aku dari dalam cermin,
aku tidak mengenali diri ku sendiri.

Di bulan ramadhan penuh keberkatan,
sepatutnya berlumba-lumba untuk bersujud bertahmid,
ada pula yang berlumba-lumba ke pusat membeli-belah,
dari awal hingga akhir bulan al mubarak.

Ada pula yang tidak bersyukur,
makanan yang mencukupi selalunya,
bulan ini seperti orang yang sedang kebuluran berbulan-bulan.

Betapa indahnya nikmat tuhan jika masih menyedut udaranya,
air sebagai pelepas dahaga,
rezeki yang halal mengalir ke dalam setiap rongga kapilari darah memberikan tenaga dan kudrat.

Aku hamba Mu tapi aku juga pelempias nafsu bertopengkan Iblis.
Keadilan yang tercipta dalam kitab dan sunnah Mu,
cuma sekadar perhiasan di hujung rumah,
hiburan menjadi tuhan yang sebenar sehingga lupa akan diri Mu.

Friday, August 6, 2010

Persoalannya kenapa.

Mata ini masih keranjang untuk melayan nafsu melihat tubuh kaum hawa,
walaupun kadang ia telah dilindung kain kapas yang membaluti wajah,
tapi masih lagi sengaja melihat seperti jelas apa yang di sebalik urat-urat benang mereka.

Wanita, sangat indah. Pernah selalu bila merayau di luar kepompong, melihat kesosialan manusia di satu pelusuk kerak bumi,
aku masih tak dapat berselindung dari nafsu yang nyata,
walaupun cuba mata untuk memesong ke arah lain dari memanggung leher melihat jelas dan nyata,
hati ini masih berniat ingin tahu.

Kenapa wanita saja ada gunung di hadapan, dan meliuk liku di bahagian belakang.
Walhal, perkara itu sepatutnya serupa,
aku juga ada cuma kenapa setiap perawan mesti melihat dan memuji jika itu benar-benar mengaburi dosa dan pahala.

Seronok melayan nafsu, melihat gunung pejal, lurah dendam yang berkabus, menikmati setiap lenggok walaupun bukan disengajakan dipertonton dan kadang melihat sesuatu yang timbul di sebalik celah lorong yang gelap.

Inikah dikatakan seks? atau cuma lumrah lelaki memuja wanita?
Aku juga punya nafsu, kadang ada kerangsangan yang boleh kawal,
dan kadang tidak boleh dikawal.
Mudahnya terjebak bila terus ke dasar,
mujur masih ada iman di permukaan, menghalang dari menembusi walaupun sedikit lubang dari terus tenggelam.

Ya Allah. Alhamdulillah ke atas nikmat deria penglihatan yang Kau berikan, sememangnya digunakan untuk aku melihat perkara seperti di atas atas alasan menguji keindahan ciptaan Mu,
atau,
aku perlu menutup mata dari terus melakukan dosa yang berterusan? Jauh aku terus merenung ke alam kegelapan, mentari kian menusuk ke dalam. Amin.

Wednesday, August 4, 2010

Mukadimah.

Salam,

Saya telah banyak melakukan perbuatan yang tidak pernah dihitung ganjaran yang akan diterima.
Saya mengaku saya insan biasa seperti kamu,
tinggi rendah, kaya miskin, tua muda, sihat sakit, lawa jelik,
dan lain-lain.

Sedar tak sedar, kita masih dalam keadaan tidak sedar sedangkan setiap detik tertulisnya sejarah bermula hari ini,
yang akan dibuka dan direnung kelak.

Saya mengaku, selalu lalai dan leka. Bukan saja kepada tuhan malah juga sejagat. Saya masih belajar,
bimbinglah saya. Walaupun bukan ke arah kesempurnaan yang nyata,
cukup sekadar perubahan yang sedikit daripada dosa yang ketara.

Saya insan yang lemah, masih perlu diteladani, perlu mengambil tahu dan melihat perkara yang kamu laku, saya akan cuba laku.
Bezanya cuma, baik dan buruk,
jalan mana yang akan saya tempuh.

Saya tak kisah, jika dosa saya tersangat besar tapi saya kecewa jika kamu tidak merasa seperti yang saya rasa, iaitu "menyesal".

Perkataan yang selalu dipakai selepas sedar dari tidur yang nyenyak, hanyut di dalam nakhoda yang tiada berkompas, hanya mengikut haluan angin meniup ke mana dan terus-menerus ke alam kekusutan.

Saya tidak kenal kamu, begitu juga kamu tidak mengenali saya. Itu lebih baik. Kenali saya dengan cara saya, dan saya akan kenal kamu dengan cara saya. InsyaAllah.

Diingati, saya bukan seorang yang warak dan arif tentang agama,
cuma pengamal sedikit amalan yang perlu dibuat secara mampu.
Hulurkan tangan kamu dan bimbinglah saya,
biarpun tidak ke syurga, cukup jika dapat melihat dari luar pagar jagaan malaikat syurga.
Itu sahaja. InsyaAllah.